Archive for May 2008

Pengalaman Berforum di Bicara Siswa TV1.

May 30, 2008

                                                                                                                                                  AlhamdulilLah, Allah telah menetapkan qada’Nya untuk saya dijemput sebagai ahli panel bagi sebuah rancangan yang membina minda siswa iaitu Bicara Siswa di RTM saluran 1. Pada mulanya saya agak terkejut kerana pada 23hb Mei saya telah ditelefon oleh penolong penerbit program tersebut dengan tujuan mengundang sebagai ahli panel. Saya dengan rasa teragak-agak menerimanya dengan senang hati. Puas saya menanti apa tajuknya, esoknya sebuah mesej berisi tajuk forum tersebut sampai di dalam ‘inbox’ telefon bimbit saya. Tajuknya ” Gejala Sosial dan Peranan Mahasiswa”. Mulanya saya berfikir bahawa soalan bagi forum tersebut akan diberikan, rupanya tekaan saya meleset. Soalan diberikan secara ‘on the spot’ atau ‘direct question’. Ketika ini saya masih ber’praktikal’ di sebuah Syarikat di Alor Star. Saya mohon ber’cuti’ untuk pergi ke Nilai dan memang kebetulannya pada 28hb Mei, berlangsungnya Pra-MPPK di ESSET, Bangi. Saya ke sana bersama sahabat saya Aliff yang juga memangku jawatan  YDP MPP USIM sehingga saya tamat praktikal dan beberapa sahabat. Kemudian kami bergegas ke KUIS pada petangnya selepas solat maghrib di kolej Sutra Indah. Sampai sahaja saya di sana, Saudara Suhaimi (Moderator Forum Bicara Siswa) terus menelefon saya bertanya di mana saya berada? AlhamdulilLah, kami menuju ke Auditorium KUIS. Paling melucukan dalam hidup saya ialah saya disolek oleh jurusolek RTM. Pada mulanya saya agak segan juga namun setelah melihat kedua-dua sahabat panel saya (Affandy dan Rasyidi) bersolek, maka saya pun merelakan diri saya disolek. Kata-kata yang paling diingati oleh saya ketika disolek adalah “Farid, awak nak pakai gincu tak?” saya tertawa kepada akak tu. saya kata “bibir saya masih baik sebab tak hisap rokok” . Setelah itu kami pun masuk ke dewan auditorium dan diberikan air mineral sebelum memulakan pengambaran tersebut. Rasa gementar pun ada jugak, tapi sebagai pemimpin kenalah bertenang bagi nampak cool, kalau tidak jatuh saham… he..he.. bila dijemput aja naik ke pentas saya terus naik bersemangat bersama panel yang lain. Perkara lucu berlaku lagi bilamana kami (ahli panel) dah ambil tempat masing-masing, tiba-tiba tempat saya ditukarkan ke tempat asal saudara rasyidi semuanya gara-gara bunga hiasan di atas meja  ahli panel sama ngan warna baju batiknya. kata penerbit tu ” adakah bunga tu di’sponsor’ oleh rasyidi?” maka kami pun bertukar tempat. Maka bermulalah rakaman forum tersebut dan terus berlangsung sebagaimana yang telah rakyat Malaysia tonton. AlhamdulilLah, Allah mengurniakan kepada saya sedikit kekuatan untuk berfikir dan berhujah meskipun agak kurang memuaskan bagi diri saya namun saya bersyukur. Cuma saya nak mengingatkan para penonton agar jangan salah faham apabila saya menyebut gejala sosial juga turut wujud di zaman Nabi SAW. Jika kita belajar Fiqh Jinayat atau Fiqh Qada’ pasti kita akan bertemu dengan beberapa kes zina dan curi di zaman Nabi. Namun mereka tetap bertahan dengan title ‘RadhiyalLahu ‘Anhum’ kerana meskipun mereka melakukan kesilapan, namun mereka redha dengan hukum Allah yang bakal menimpa mereka. Begitulah keteguhan iman dan keyakinan Para Sahabat R.’Anhum dalam memegang janji Allah pada diri mereka. Kalau nak diikutkan, gejala sosial seperti pembunuhan, gejala gay, dan sebagainya dah lama wujud contohnya; sejarah pembunuhan berlaku sejak zaman Nabi Adam di mana berlakunya pertembungan Habil dan Qabil, Kes Gay dan Liwat wujud dari zaman Nabi Luth dan banyak lagi. Inilah tugas para Nabi dan Rasul dalam memperbetulkan masyarakat. Kerana itu saya tegaskan dalam forum tersebut bahawa jalan penyelesaian bagi segalah masalah ialah Islam. Islam itu rahmat bagi sekalian alam, kalau di alam jin sekalipun berlaku gejala sosial ini, maka jin pun kena kembali kepada Islam. Inilah kehebatan Islam yang cuba saya pertonjolkan, semoga apa yang saya sampaikan di dalam forum tersebut dapat diterima dan difahami masyarakat. InsyaAllah. Semoga Allah terus membantu para dua’at dalam berdakwah.Semoga juga dengan pandangan yang saya sampaikan mengukuhkan lagi bahawa kami para senior USIM bukanlah berfikiran Islam Liberal apatah lagi berfikiran Sekular. Ingatilah Konsep Pendidikan Islam ialah melahirkan generasi “Soleh dan Muslih” iaitu baik dan memperbaiki orang lain…. Amiin. F.

 

Advertisements

Tazkirah Dari Hadith Sohihain

May 20, 2008

Diriwayatkan dari Jabir Bin Abdullah r.anhuma, dia telah berkata: “Aku pernah ditanya tentang kebangkitan di akhirat. Lalu aku menjawab; “kita dibangkitkan pada hari kiamat begini dan begini. Umat manusia didatangkan sesuai dengan derajat masing-masing. Lalu setiap kelompok dipanggil bersama berhala atau sembahan mereka ketika di dunia secara berturutan. Setelah itu Tuhan datang kepada mereka, lalu berfirman; “Siapakah yang kamu tunggu?”. Allah kemudian berfirman : “Kami menunggu Tuhan kami.” Allah kemudian berfrman: “Akulah Tuhanmu”. Mereka kemudian berkata: “Rasanya kami pernah melihat-Mu dahulu”. Allah pun membiarkan mereka. Lalu Allah membawa mereka dan mereka pun mengikut-Nya. Setiap orang di antara mereka, baik yang munafiq ataupun yang mukmin akan diberikan nur (cahaya). Kemudian mereka mengikuti cahaya tersebut melalui jambatan neraka jahanam, yang di sana terdapat besi-besi pengait dan berduri yang setiap saat merenggut siapa sahaja yang dikehendaki oleh Allah. Kemudian nur (cahaya) orang munafik terpadam,  sedangkan orang-orang mukmin selamat. Selamatlah rombongan pertama yang terpancar pada wajah mereka bagaikan bulan purnama sebanyak 70,000 orang tanpa hisab. Kemudian datanglah orang-orang yang beriman yang cahayanya seperti bintang-bintang di langit, demikianlah seterusnya. Kemudian syafa’at pun diberikan. Mereka pun kemudian meminta syafa’at, sehingga mereka dapat memberikan syafa’at kepada seluruh ummat manusia dari neraka, khususnya yang mengucapkan : LailahailLah, dan  yang di dalam hatinya terdapat kebaikan seberat biji gandum. Mereka akan di tempat di halaman syurga, lalu ahli syurga akan memercikan air kepada mereka, sehingga daging mereka tumbuh bagaikan tumbuhnya sesuatu tetumbuhan setelah banjir, dan hilanglah hausnya. Kemudian datanglah orang yang terakhir meminta syafa’at, sehingga kepadanya diberikan syurga yang luasnya sepuluh kali lipat luasnya dunia”

Jikalah sekiranya mereka yang paling rendah sekali martabatnya di syurga mengecapi kenikmatan yang begitu hebat, bagaimana pula keadaan anugerah Allah kepada hambaNya yang mengabdikan diri kepadaNya dengan penuh hati, rendah diri dan sanggup berjuang dan mati keranaNya. Tentu lebih hebat dan tidak disangka-sangka. Sewajarnya kita yang masih mendapat kurniaNya yang banyak ini perlu berusaha, berjuang, bermujahadah sehingga mencapai maqam mardhatillah yang sentiasa kita di bawah lembayung redho-Nya. amin… F

Kita menerang bukan menyerang

May 9, 2008

Saya sehingga kini masih meninjau2 apa komen ramai para pembaca di dalam blog saudara naim. Saya merasa agak kasihan kerana beliau menerima pelbagai jenis teguran dan tidak kurang juga menulis dengan gaya bahasa yang tidak baik terhadap beliau. Mungkin beliau tersilap di dalam penulisan yang lalu, kita perlu bersikap berlapang dada memaafkan beliau. Bukankan manusia itu tidak akan sunyi dari melakukan kesilapan dan kesalahan???. Dalam saya membaca komen2 tersebut, saya teringat ucapan seorang tokoh dakwah yang terkenal di Malaysia; YAB Tuan Guru Datuk Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat ” kerja kita ni (dakwah) adalah menerang bukan menyerang”. Meskipun kata2 ni saya nukil dari seorang tokoh dari opposition side tapi diharap jangan salah faham… al muhimm, kita amik istifadah dari hikmah beliau.

Memang tugas para Anbiya’ dan para Rasul A.S begitu; sentiasa menerang dan tidak menyerang melainkan jika telah diserang, baru kita mempertahankan diri. I’tibar dari apa yang berlaku 2-3 hari ni sangat menginsafkan saya bahawa dalam kita melaksanakan tugas harian kita sebagai dai’e, kita perlu berhati-hati. Dakwah yang kita jalankan sehari-hari adalah disampaikan samada bil hall au billisan. Juga sebagai penulis, kita berdakwah dengan tulisan.

Saya membaca sebuah buku yang sangat baik; Tazkirah Duaat Islam. Syeikh Abul A’ala Al Maududi menukilkan :” Disamping kita memperkemaskan diri sendiri anda juga harus berperang dengan bi’ah sekeliling… ini bukanlah bermakna anda menumpaskannya, memaki hamunnya dan bertengkar dengan mereka tetapi anda harus iltizam dengan dengan kemas prinsip anda samada berseorang atau berkumpulan agar sampai ke matlamatnya”.

Kita berdakwah bukan hendak membawa rakan2, kawan2 atau sesiapa ke arah menyokong pihak A, Pihak D, pihak mana2. Tetapi kita membawa mereka ke arah Islam yang syumul dan sederhana. Bukan membawa mereka ke arah ‘ana’ sebagaimana kata2 Syeikh Ad Daiah Ila Lah; Syeikh Habib Ali Al Jufri. “Manusia membawa manusia yang lain samada kepada agamanya pun bukan bermatlamat kepada Allah tetapi Ana (keSAYAan)”. Dapat difahami, membawa mereka mengenal Islam untuk berjuang dengan parti ANA, membawa mereka mengenal tuhan supaya jadikan ANA pemimpin sanjungan dan begitulah pelbagai lagi kategori dakwah bertuhankan ANA… Barangkali ada yang mengatakan apa dia ni cakap ni, lain macam ja… tak palah al muhimm, dakwah kita adalah kepada dan kerana Allah. Oleh kerana dakwah kita ni kepada Allah, maka kita kena berpedoman kepada methodNya juga. Lihat. Allah menyuruh apa yang pertama sekali dalam wahyuNya??? Membaca! Mengkaji! Meneliti. Maknanya Allah suruh kita faham dahulu. Bagaimana kita nak faham sesuatu? perlukan penerangan. Maka, kesimpulannya dalam agama kita diajar supaya diterangkan dahulu. Allah tidak menyatakan kepada para hambaNya dengan pelbagai jenis serangan (ancaman neraka dan azabnya) tetapi Allah menerangkan dahulu kepada hambaNya Aku adalah Tuhan yang sepatutnya kamu sembah. Mungkin dengan apa yang berlaku hari ini, kita boleh bermuhasabah lagi.

Tuduhan melulu dan menghina atau sebagainya perlu dijadikan jalan / wasilah yang entah keberapa belakangnya setelah pelbagai jalan hikmah kita selusuri dalam jalan dakwah kita. Harapan saya agar kita semua dapat melihat sesuatu dengan lebih terbuka berdasarkan kondisi/waqi’ semasa. Salah silap harap dimaafkan.

wallahu’Aalam. 

Jawapan Kepada Tuduhan Saudara Naim

May 7, 2008

Assalamualaikum dan salam Ukhuwwah FilLah,

Semoga Allah melimpahkan segala rahmat dan kurniaNya kepada kita sekalian. Saya telah membaca suatu artikel yang dihantar oleh Saudara Naim di dalam laman blog beliau yang bertarikh 3 mei 2008 bertajuk : Universiti Islam atau Universiti Islam Liberal. Oleh kerana saya melihat tuduhan yang dilemparkan kepada universiti tempat saya menimba ilmu dan mengenal agama islam ini telah diberikan gambaran yang tidak adil, saya ingin memberikan penjelasan berhubung isu tersebut serta membuat sedikit teguran kepada Saudara Naim.

Diharapkan semoga sedikit penerangan yang saya jelaskan akan memurnikan tanggapan masyarakat yang tidak menetap di bumi USIM (satu-satunya Universiti Islam di Nilai sebagaimana yang digambarkan oleh Saudara Naim) yang tercinta. Bukanlah saya menulis ini bertujuan untuk menolak segala dakwaan yang dibuat oleh seorang pelajar (rakan Saudara Naim) yang telah menceritakan kepada Saudara Naim situasi USIM tersebut. Namun, adalah tidak adil bagi saya yang sudah hampir 3 tahun belajar di USIM sekiranya membiarkan keluarga saya dicemuh tanpa pembelaan. Tidak dinafikan bahawa ada beberapa kekurangan di pihak keluarga saya (USIM) yang masih perlu diperbaiki tetapi tindakan saudara menulis serta memberikan komentar berdasarkan cerita dari teman saudara adalah tidak tepat.

Saudara mendakwa bahawa USIM seolah-olah merupakan pusat ternakan ‘Islam liberal’. Saudara, ucapan ini sangat sensitif dan berbahaya. Saya yakin bahawa apa yang ditulis oleh saudara bukanlah mewakili PKPIM, namun sedikit sebanyak telah mencemar kewibawaan saudara selaku Ahli Jawantankuasa PKPIM. Apakah hanya apabila warga USIM dididik agar lebih fleksibel dan terbuka, saudara ingin menyatakan USIM adalah sekular dan liberal. Ini suatu tuduhan melulu dan tidak berasas. Keterbukaan yang diamalkan oleh USIM masih berada di bawah kawalan pihak pengurusan universiti yang sentiasa memastikan USIM berada di dalam acuannya tersendiri sesuai dengan imejnya sebagai universiti Islam. Islam tidak pernah menetapkan para ummatnya berpegang dengan suatu pandangan semata, bahkan di dalam lingkungan fiqh islam itu sendiri kita melihat kepelbagaian corak pemikiran. USIM yang terdiri dari pelbagai latarbelakang warganya sudah tentu perlu bersikap lebih terbuka serta meraikan pola pemikiran mereka. Tegasnya, apa yang saya lihat USIM telah meletakkan asas dan garis panduan yang tepat. Sebagai contohnya, seluruh kakitangan USIM diwajibkan menutup aurat. Bukan semua kakitangan USIM pada asalnya menutup aurat apatah lagi berpendidikan agama, namun pendekatan yang diambil oleh pihak pengurusan adalah bersesuaian dengan citra USIM dan kini seluruh warga USIM menutup aurat. Apatah lagi para mahasiswa dan mahasiswi juga digariskan agar menutup aurat dan berpakaian sopan. Jelas termaktub di dalam perlembagaan universiti berhubung perkara tersebut.

Saudara juga telah menaqalkan kata-kata sahabat saudara bahawa dekan terbabit (As-Syeikh Dr. Rosni Samah, HafizahulLah) mengeluarkan pandangan yang tidak baik berkenaan tudung dan jubah. Adakah saudara yakin dengan apa yang diceritakan oleh sahabat saudara itu benar, atau setidaknya bertepatan dengan maksud yang dinyatakan oleh tuan syeikh tersebut?. Ketika saya membaca artikel saudara saya terus menghubungi tuan syeikh dekan berhubung kenyataan beliau. Benar sekali, sahabat saudara telah salah memahami ucapan tuan syeikh serta tidak mahu menerima teguran yang diberikan kepada beliau.(lebih sopan menggunakan beliau – sebagai seorang yang beradab dalam penulisan). Apa yang dimaksudkan oleh Tuan syeikh berhubung jubah dan tudung itu adalah supaya mahasiswi yang bakal bergelar guru / ustazah berpakaian lebih kemas. Dalam erti kata lain berjubah dengan jubah yang kemas dan terurus bertudung labuh yang kemas dan menyenangkan. Barangkali teguran tersebut tidak dapat difahami dengan baik. USIM bukan sahaja menitik beratkan soal penguasaan ilmu bahkan imej islam yang baik harus dijaga.

Tuduhan saudara mengatakan kami (senior-senior USIM) berfikiran sekular adalah tidak benar. Mungkin ada segelintir yang berfikiran begitu (di mana IPT pun ramai), namun menuding jari dengan mengatakan senior USIM adalah sekular adalah tidak berasas. Berkenaan program tersebut hingga mengabaikan solat tidak dapat saya pastikan. Beberapa persoalan harus dikemukakan, adakah pihak penganjur tidak membenarkan bersolat atau pelajar yang tidak mengambil peluang untuk bersolat. Dalam pengamatan saya, tidak ada suatu program yang dianjurkan tidak memberikan ruang waktu untuk bersolat. Perkara ini akan dikaji dan diteliti oleh pihak bertanggungjawab.

Berhubung nyanyian-nyanyian, persembahan dan tarian yang melalaikan. USIM telah mencuba meng’harmoni’kan perkara tersebut sesuai dengan kehendak syariat dan menjaga nilai-nilai budaya ketimuran melayu. Kami bersyukur kerana USIM tidak membiarkan mahasiswanya untuk bebas dalam bersosial dan berhibur dengan sesuka hati. Ianya sentiasa dipantau serta dipandang berat oleh pihak pengurusan. Untuk makluman saudara, sebarang aktiviti berkaitan dengan nyanyian, persembahan dan tarian adalah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak atasan sebelum ianya dilaksanakan dalam kata lain, USIM sekaligus hanya membenarkan aktiviti tersebut dijalankan sekiranya ia tidak melanggari batas syariat dan budaya melayu.

Sebagai kesimpulan,ingin saya memberikan beberapa noktah sebagai panduan saudara. Pertama, saudara haruslah lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan terutama apabila mengaitkan peribadi serta institusi pengajian tinggi yang lain. Budaya menyiasat terlebih dahulu adalah perbuatan yang dianjurkan Islam serta mengelak dari membuat tuduhan melulu. Kedua, saudara harus menjaga adab serta etika di dalam menulis terutamanya saudara adalah merupakan seorang pemimpin mahasiswa yang berideologikan Islam sebagai cara hidup. Ahkirnya, saya mendokan agar Allah mengampunkan kesalahan dan dosa kita selaku hambaNya yang dhaif dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini.

Sekian.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

MOHD FARID DIN

Yang Dipertua,

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).