Archive for September 2008

SALAM AIDULFITRI 1429H

September 30, 2008

Selamat Hari Raya Aidul Fitri 1429H Kepada Seluruh Muslimin Dan Muslimat. Khususnya kepada keluarga dan sanak saudara saya serta seluruh warga USIM. Tidak ketinggalan para pejuang agama Allah yang sentiasa istiqamah dan terus thabat dengan perjuangan di semua peringkat, kampus, negeri, nasional mahupun antarabangsa. Semoga Allah memberkati segala amal usaha yang telah kita laksanakan sepanjang ramadhan ini dan Allah mengampunkan dosa-dosa kita yang terdahulu dan akan datang. Semoga dengan Ramadhan yang berlalu akan memberikan suntikan baru terhadap usaha dan amal ubudiah kita bagi sesi yang akan datang. Semoga kita akan dipilih sekali lagi untuk bertemu Ramadhan tahun hadapan. Dikesempatan ini saya memohon ampun dan maaf di atas ketelanjuran kata, kekasaran perilaku atau kuliah-kuliah yang ‘keras’ terutama para mahasiswi  di kolej-kolej kediaman USIM (kecuali yang benar), atau kekurangan diri dan kelemahan peribadi saya. Semoga Allah mencukupkan hamba-hambaNya yang kerdil ini.

 

Salam Aidul Fitri 1429H,

 

MOHD FARID BIN HJ DIN  

Advertisements

Tazkirah Di Akhir Ramadhan…

September 29, 2008

Assalamualaikum dan Salam Akhir Ramadhan,

Kini sudah tiba masanya di akhir ramadhan, masa di mana para auliya’ dan solihin merasa begitu amat sedih dan hiba bagi meninggalkan bulan ramadhan. Bulan di mana rahmat dan maghfirah Tuhan begitu mencurah-curah dilimpahkan kepada para hambaNya. Bulan amalan kita digandakan dengan lipatan ganda, moga kita termasuk di dalam golongan yang berjaya. Amin. Ada beberapa perkara penting yang perlu kita berikan perhatian di akhir ramadhan ini.

Pertama, adakah kita sudah mencapai keampunan dari Allah SWT sepanjang bulan mulia ini? Ini kerana sebuah hadith Nabi SAW menyebut “ Aku didatangi oleh Malaikat Jibril dan ia berkata “Wahai Muhammad, barangsiapa yang mendapati ramadhan dan ia meninggalkannya tanpa memohon keampunan Allah (serta tidak memperolehinya) maka ia akan dimasukkan dalam api neraka serta Allah menjauhinya dari rahmatNya. Katakan ‘Amin’, Wahai Muhammad”. Maka kata Nabi SAW: Amin (Nabi turut mendoakan perkara tersebut)”. Inilah yang lebih utama kita risaukan daripada baju raya, kuih raya, kad raya, duit raya dan hantu raya. Sudahkah kita memohon keampunan Allah secara bersungguh-sungguh atau kita seolah-olah ‘sabotaj’ kepada Allah dengan buat ‘deekk’ atau ‘buat tak tahu’ sahaja di bulan ini. Sangat menyedihkan.

Kedua, di kala kita menyambut kehadiran syawal, janganlah berboros dan membazir di dalam menyambutnya. Sambutlah secara sederhana dan berhemah. Jangan begitu gembira seperti seolah-olah ‘‘banduan yang terlepas dari seksaan penjara @ cengkaman kezaliman ISA’’. Kita belum pasti mendapat kejayaan yang sebenarnya, apakah dosa kita terampun, apakah darjat kita ditingkatkan atau bagaimana dengan penghayatan kita terhadapa sistem pendidikan Universiti Ramadhan yang menjadikan Taqwa sebagai fokus pendidikannya.

Ketiga, bagaimanakah pula keadaan kita setelah Aidul Fitri ini? Apakah surau dan masjid akan kita hadiri lagi? Adakah Al-Quran akan kita tatapi lagi? Adakah solat-solat sunat akan kita kerjakan lagi? Ingatlah kata-kata Ulama’ terkenal, Dr. Yusuf Al Qaradhawi “ Sesiapa yang menyembah Ramadhan, maka ingatlah bahawa Ramadhan akan berlalu. Tetapi, siapa yang menyembah Allah, maka Ia Maha Kekal Hidup dan tidak akan mati”. Ayuh sahabat para pengunjung laman ku ini, kita bermuhasabah apakah kita penyembah Ramadhan atau kita Penyembah Allah yang Maha Kekal????.

Para Wahabiyy di USIM ditegur Naib Canselor

September 20, 2008

” Para pensyarah dan pelajar diminta agar tidak mempertikaikan amalan yang telah diamalkan oleh ‘Ulama muktabar terdahulu sejak sekian lama. Jangan suka membida’ahkan itu dan ini. Para pensyarah seharusnya mengajarkan ilmu yang telah dipersetujui oleh ‘Ulama terdahulu dan bukan mengajarkan sesuatu yang membawa kepada perpecahan” ini adalah sebahagian petikan ucapan Y.Bhg Dato’ Naib Canselor USIM, Prof. Dato’ Dr. Abdul Shukor Hj Husin ketika merasmikan Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan di Stadium Nilai, USIM petang tadi (20/9/08). Teguran YBhg Dato’ selaku Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan ini membawa mesej yang sangat jelas kepada para pensyarah khasnya dan para mahasiswa USIM amnya agar tidak mudah terjebak dengan penyakit membid’ahkan pihak yang lain. Perkara ini telah banyak kali diajukan oleh pihak MPP USIM kepada pihak pengurusan USIM setelah melihat sebilangan para pensyarah dan mahasiswa mula bersikap agresif dalam membid’ahkan sebahagian pihak serta meninggalkan serta menghasut agar meninggalkan amalan yang telah disepakati oleh ‘Ulama yang terdahulu. Adalah diharapkan agar pihak MPP yang akan datang juga akan terus memantau perkembangan ini. Berpeganglah kepada Aqidah Ahlus Sunnah Wal Jama’ah yang betul dan amalkan amalan yang dipersetujui oleh para Ulama’ yang muktabar. F.

Jadual Kuliah / Tazkirah Ramadhan

September 19, 2008

TARIKH TEMPAT
7 September 2009 – Kolej kediaman Nilam Court, Nilai

13 September 2009 – Kuliah Di Surau As Sobirin, Cheras

14 September 2009 – Kuliah Subuh Surau Fathonah, Ampang

19September 2009 – Kuliah di Bandar Tun Husein Onn
18 September 2009 – Kuliah di Surau Desa Teratai, Rompin, Pahang
24 September 2009 – Kuliah di Surau Pondok Batu 9,Cheras

Majlis Berbuka Puasa KPT

September 12, 2008

Pada hari jumaat bersamaan 12 Ramadhan, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa bersama para mahasiswa/i IPT Malaysia. Majlis ini dihadiri hampir 2 ribu hadirin. Y.B Ir. Datuk Idris Haron sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi I telah menyampaikan ucapan pada majlis tersebut. AlhamdulilLah, dapat juga saya berjumpa dengan para sahabat dari kumpulan G-Kalimantan yang mengikuti program pengantarabangsaan bulan lepas. Semoga majlis sebegini akan dimanfaatkan sebaiknya oleh semua mahsiswa.

Bulan Berpisahnya Dengan Para Sahabat

September 12, 2008

Bulan ini sahaja 3 orang sahabat saya telah pergi menyambung pengajian mereka di luar negara. Antaranya ialah Saudara Asyraf Tajuddin dan Nurul Amin Ismail yang menyambungkan pengajian ke Universiti Al Azhar, Shoubra dalam jurusan Al Quran dan Qiraat pada 8 september 2008. Manakala seorang Lagi ialah Saudara Mujahid Bin Sheikh Husain yang menyambung pengajiannya di Univeristi Iman, San’aa, Yemen pada 10 september 2008. Semoga sahabat sekalian akan mencapai apa yang dicita-citakan. Amin.

WAHABI MENGGUGAT PERPADUAN UMMAH

September 7, 2008

Oleh: Y.Bhg. Dato’ Dr. Amran Kasimin

Di Malaysia orang Islam dipecahbelahkan secara langsung dan tidak langsung pada perkara-perkara yang furuk, pada bacaan doa dan talkin selepas menunaikan sembahyang lima waktu. Dipecahbelahkan supaya jangan membaca qunut, biarpun ia diamalkan oleh sebahagian besar umat Islam sejak turun-temurun. Orang Islam diracuni otak mereka supaya jangan membuat perarakan Maulidur Rasul. Bidaah, nabi tak buat.


Apabila sesuatu golongan manusia itu melakukan amalan atau ibadah seperti di Malaysia dengan aman damai dan dapat diterima, tiba-tiba datang satu kumpulan manusia menyatakan amalan ini bidaah. Setiap bidaah itu sesat, maka kesesatan adalah neraka tempatnya. Maka orang yang datang terkemudian itu secara tidak langsung berusaha memecahbelahkan umat.


Nabi ketika hidupnya ke Arafah untuk melakukan wukuf dengan berjalan kaki. Lalu ada kumpulan yang berjalan kaki dari Mekah, biarpun kemudahan bas dan kereta ada. Malangnya sebahagian mereka yang pergi itu sakit kaki dan demam selepas itu menyebabkan berlakunya halangan melakukan ibadah lain.


Semua perbuatan yang tidak diamalkan oleh nabi itu bidaah, pergi ke masjid atau berjalan-jalan makan angin menggunakan kereta Proton itu juga diperkira sebagai bidaah kerana Rasulullah tidak pakai Proton.


Membaca Yasin pada malam Jumaat dan selepas berlakunya kematian juga bidaah. Ia bidaah kerana dibaca pada malam Jumaat, selama tiga atau tujuh hari selepas kematian. Lepas sebulan atau 44 hari ataupun setahun sekali. Membaca Yasin tidak bidaah, yang bidaah ialah kerana penetapan masa. Orang Islam di Malaysia selain membaca Yasin pada waktu-waktu yang dijelaskan, mereka juga membaca pada waktu-waktu lain, lebih banyak di bulan Ramadan, ketika menunggu waktu sembahyang dan sebagainya.

Bagi orang yang tidak menggemari bacaan Yasin, bacaan al-Quran atau doa-doa akan menyokong menyatakan amalan ini bidaah. Agaknya, kalau mereka ini tidak boleh berwirid, membaca ayat al-Kursi, doa-doa, zikir-zikir selepas sembahyang lima waktu, lebih baik mereka main terup, lumba motosikal di jalan raya atau sekurang-kurangnya menonton Akademi Fantasia.

 

Akibat perpecahan atau wujudnya bibit-bibit memporak-perandakan umat, sebahagian orang Islam menyalahkan ajaran Islam sebagai faktor kemunduran dan mengagungkan Barat lebih daripada segala-galanya.

 

RUJUKAN ;

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm.

http://abulehyah.blogspot.com