Archive for March 2009

KATAKAN TIDAK KEPADA RASUAH DAN ‘PENGAMALNYA’

March 19, 2009

Definisi Rasuah

Di dalam bahasa Arab, rasuah disebut sebagai ar-risywah atau ar-rasywah yang bermaksud sesuatu penyambung yang dapat menghantarkan tujuan dengan harta sogokan. Definisi ini diambil dari asal kata rasuah iaitu ar-rasya yang bererti tali timba yang dipergunakan untuk mengambil air di perigi.

Tersebut dalam kitab Taj al-‘Arus, rasuah adalah sesuatu yang diberikan oleh seseorang kepada hakim atau selainnya supaya menghukumkan sesuatu atau memikul sesuatu yang dimahukan oleh si pemberi.

Menurut kamus bahasa Malaysia, rasuah adalah pemberian untuk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap).Sementara dari segi istilah pula ia memberi maksud sesuatu yang diberikan untuk menyalahkan yang benar atau membenarkan yang sudah jelas salah.

Rasuah Menurut Hukum Syara‘

Menurut syara‘ rasuah adalah tergolong dalam perbuatan dosa-dosa besar, kerana ia termasuk dalam perkara memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Ini adalah berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an, hadis dan ijma’ para ulama.

Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

Tafsirnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (188)

(Surah al-Baqarah: 188)

Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala lagi:

Tafsirnya: “Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya)….” (42)(Surah al-Ma’idah: 42)

Berdasarkan ayat-ayat al-Qur‘an di atas bahawa Allah Subhanahu wa Ta‘ala melarang umatNya memakan atau mengambil harta orang lain dengan jalan yang salah. Perbuatan rasuah termasuk memakan harta dengan jalan yang salah itu. Ayat berikutnya pula menjelaskan sifat atau karakter orang-orang Yahudi itu sentiasa mengagungkan kebatilan, pembohongan serta memakan rasuah.

Perbuatan rasuah disebut juga oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan hukuman laknat atau kutukan Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya. Antara hadis yang membincang perkara rasuah, hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru, beliau berkata:

Maksudnya: “Bersabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Laknat Allah ke atas pemberi rasuah dan penerima rasuah.”(Hadis riwayat Ibnu Majah)

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu katanya:

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah dalam hukuman.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Menurut Ibnu Hajar Rahimahullah, adapun pengantara atau penghubung rasuah itu, jika dia sebagai utusan pihak penerima maka pengantara itu berdosa juga sebagaimana orang yang menerima rasuah. Jika pengantara rasuah tersebut sebagai utusan pihak pemberi, maka mengikut pendapat sebahagian ulama ia tertakluk pada tujuan pemberi rasuah, jika tujuan pemberi itu baik, maka tidaklah pengantara itu dilaknat. Namun jika tujuannya jahat, maka pengantara itu akan dilaknat juga. Tidak ada perbezaan dosa dalam kuantiti jumlah harta yang dihulurkan untuk melakukan rasuah. Dosanya tetap sama, sama ada harta yang digunakan untuk rasuah itu dalam jumlah harta yang banyak ataupun sedikit.

Mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah itu selain daripada mendapat laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan RasulNya, mereka juga akan menerima azab yang pedih di akhirat kelak, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma katanya:

Maksudnya: “Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam: “Pemberi rasuah dan penerima rasuah akan masuk ke dalam neraka.” (Hadis riwayat ath-Thabrani)

Siapakah Golongan Penerima Rasuah Itu?

Hukum pengharaman rasuah tidak hanya terbatas kepada sesuatu golongan sahaja seperti para hakim, sebagaimana yang disentuh oleh ayat al-Qur’an (al-Baqarah: 188) di atas, bahkan ia adalah bersifat umum meliputi semua golongan. Salah satu golongan yang disebutkan secara khusus oleh Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam ialah para petugas (‘Amil zakat). Baginda ada mengingatkan dan melarang para petugas (‘Amil zakat) mengambil atau menerima rasuah, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Humaid as-Sa‘idiy:


Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah melantik seorang lelaki daripada suku Azd bernama Ibnu Lutbiyah, Ibnu Sarh bercerita: “(Dia) ialah Ibnu Utbiyah”, (bertugas sebagai) pemungut zakat. Lalu Ibnu Utbiyah (ketika menghadap Nabi) berkata: “Ini untuk kamu dan yang ini dihadiahkan untuk saya”.

Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam (lantas) bangun berdiri di atas mimbar, Baginda memuji-muji Allah dan menyanjungNya lalu bersabda: “Bagaimanakah seorang petugas yang diutus, kemudian dia datang sambil berkata: “Ini untuk kamu dan yang ini dihadiahkan untuk aku, tidakkah dia duduk di rumah ibunya atau ayahnya saja, lalu dia menunggu-nunggu; apakah dia diberi hadiah atau tidak? Tidaklah seseorang daripada kamu yang membawa sesuatu daripada harta yang didapatinya itu (rasuah) melainkan di hari kiamat harta itu datang, jika (harta itu) seekor unta, unta itu akan melengguh, atau seekor lembu, lembu itu akan menguak, atau seekor kambing, kambing itu akan mengembik.”

Kemudian Baginda mengangkat kedua tangannya sehingga kami nampak ketiaknya lalu bersabda: “Wahai Tuhan, bukankah saya telah menyampaikan, bukankah saya telah menyampaikan.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Dalam hadis yang lain, diriwayatkan oleh Abu Humaid as-Sa‘idiy:

Maksudnya: “Bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Hadiah-hadiah para petugas (‘Amil) adalah khianat.” (Hadis riwayat Ahmad)

Sementara dalam kitab Maratib al-Ijma‘ disebutkan, bahawa ulama telah bersepakat rasuah dalam menjatuhkan hukuman adalah haram.

Maka sangat jelas, walau apa juga namanya ditukar kepada hadiah, saguhati atau ditukar labelnya menjadi ‘POLITIK WANG’ atau apa jua namanya tetap HARAM dan DILAKNATI ALLAH dan RASUL. Lantas, apakah kita mahu berpemimpinkan manusia yang disebut di atas???? Tepuklah Iman….tanyalah taqwamu… F

Advertisements

Peruntukan Untuk Graduan dalam PRE

March 17, 2009

‘Rahmat terselindung di sebalik musibah’, mungkin ini ungkapan yang sesuai untuk dilafazkan oleh para graduan. Di dalam keinsafan kerajaan menyedari krisis ekonomi dunia yang turut dirasakan oleh Malaysia, kerajaan telah mengambil suatu langkah yang sangat positif dan baik dengan memperuntukkan RM 60 bilion dalam pakej ransangan ekonomi (PRE). Pakej ini dilihat sebagai suatu pakej yang menyeluruh dan menumpukan empat teras iaitu mengurangkan pengangguran dan menambah pekerjaan; meringankan beban rakyat; membantu sektor swasta mengahadapi krisis ekonomi semasa; dan membina keupayaan masa depan. Satu perkara yang sangat menarik hati saya ialah kemurahan hati kerajaan memberikan peluang pembiayaan kepada graduan untuk mengikuti pengajian di peringkat yang lebih tinggi. Ini memberikan peluang yang lebih kepada rakyat Malaysia untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kepakaran. Fokus penerima pembiayaan ini adalah graduan-graduan yang belum mendapat pekerjaan tetap atau pekerja-pekerja yang diberhentikan kerja untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah lanjutan. Saya selalu mendengar dengusan mahasiswa yang mempunyai reaksi yang positif di dalam mengharungi situasi begini. ‘Dari duduk bersahaja menunggu kerja, lebih baik menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Akhirnya nanti, mudahlah masa hadapan’. Saya kira apa yang dilakukan oleh kerajaan ini adalah senada dengan kebanyakan mahasiswa. Yakin dan pasti, pengumuman pakej ransangan ini sangat memotivasikan para graduan untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Tindakan ini bijak kerana kerajaan membuka ruang seluasnya kepada para graduan untuk menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan beberapa institusi swasta terpilih. Hasilnya, pusingan wang akan berlegar di dalam negara dan membantu pertumbuhan ekonomi Malaysia. Kedua, keprihatinan kerajaan terhadap pengajian tinggi negara begitu jelas meskipun situasi keadaan ekonomi negara yang dijangka tidak memberangsangkan untuk tempoh sederhana namun peruntukkan yang agak besar ini tetap menjadi pilihan kerajaan. Sementelah saya mendapatkan reaksi dari rata-rata mahasiswa, ada yang mengagumi hasrat murni ini dan ada juga yang merasa aneh dengan peruntukan ini. Namun secara dasarnya, masyarakat menyambut baik ‘rahmat’ ini.

Dari sudut sosialnya, pembiayaan ini sangat membantu para graduan yang menganggur khususnya bagi mereka yang memiliki ijazah di dalam bidang yang kurang mendapat permintaan. Ini ditegaskan oleh Presiden Cuepacs, Omar Osman yang mahukan agar graduan dari bidang yang kurang mendapat permintaan di pasaran akan diberikan keutamaan di dalam pembiyaan tersebut. Pastinya pembiayaan ini akan menjadi rebutan di kalangan graduan pelbagai bidang. Jika dilihat kepada statistik enrolmen pelajar peringkat sarjana di institusi pengajian tinggi awam pada tahun 2007 sahaja telah mencatatkan bidang sastera adalah tertinggi berbanding bidang sains dan teknikal dengan masing-masing mencatatkan enrolmen sebanyak 18,012 (sastera), 8,411 (sains) dan 3960 (teknikal).

Namun di dalam keghairan kita menerima biasiswa tersebut, perlu diingatkan kepada seluruh graduan agar tidak mensia-siakan peluang yang diberikan dengan tidak mengambil berat soal kualiti pengajian serta leka dengan nikmat yang diberikan. Kita khuatir sekiranya para pelajar yang menikmati pembiayaan ini semakin leka dan bersuka ria dengan kurniaan tersebut. Janganlah kiranya ia berlaku sebagaimana kebanyakan para pensyarah yang tidak menamatkan pengajian di peringkat sarjana dan kedoktoran falsafah lantaran hidup senang diulik kemewahan dan kesenangan yang dikecapai. Akhirnya, pihak kerajaan dan universiti terpaksa menanggung kos yang lebih besar yang sepatutnya dimanfaati oleh masyarakat yang lebih memerlukannya.

Saya juga ingin mencadangkan agar pihak kerajaan mewujudkan suatu badan atau unit yang memantau kelansungan pengajian dan penyelidikan para pelajar yang menerima pembiayaan ini agar biasiswa tersebut akan digunakan sepenuhnya bagi menampung pengajian apatah lagi penerima biasiswa ini tidak terikat dengan kerajaan sebagiamana disebut di dalam syarat umum ‘Tiada ikatan kontrak yang akan dikenakan dan pembiayaan ini tidak bermaksud untuk berkhidmat dengan pihak Kerajaan selepas tamat pengajian’. Meskipun yuran akan terus dibayar melalui universiti namun ia penting bagi merialisasikan harapan dan matlamat kerajaan melalui biasiswa tersebut yang mahukan agar lebih ramai pakar berkualiti dilahirkan dan akan membantu merancakkan kegemilangan negara.

Salam Maulidur Rasul SAW

March 10, 2009

Salam Maulid Nabi

“Ya Allah! Jadikanlah kami di kalangan ahli syafaat Nabi kami, Muhammad SAW” .

Inilah antara doa yang diajarkan oleh Tuan Guruku yang mulia, Tuan Guru As Syeikh Hj Muhd  Zainul Asri Hj Romli (HafizahulLah) agar sentiasa berlegar di bibir-bibir para Muhibbin yang bertamu di Taman Pencinta Akhirat. Salam Maulidur Rasul kepada seluruh ummat pencinta Muhammad SAW manusia yang sangat mulia, hebat, agung, tertinggi kedudukannya, teersanjung pekertinya, terindah rupa parasnya, sangat pengasih dan sayang pada ummatnya.

Perayaan Maulidur Rasul SAW, saban tahun kita semua menyambutnya dengan penuh gilang gemilang. Meski saja ada suara yang mengatakan ianya bid’ah, namun harus difahami bahwa ia adalah suatu bid’ah hasanah. Janganlah kerana didorong oleh kefahaman yang sempit, justeru kita terus menyalahkan ummat sebahagiannya yang menyambut Maulidur Rasul ini. Sehingga ada yang menolak bahawa ia adalah suatu bid’ah hasanah lagi mahmudah. Jangan pula ada yang mengingkari bahawa bid’ah itu terbahagi 2: hasanah dan saiyyiah/ mazmumah kerana ia telah diijma’kan oleh Ulama. Tidak perlu dinyatakan apa hukum bagi yang mengingkari Ijma’ Ulama’…

Bagi saya yang dhaif lagi jahil ini, menyambutnyakah  atau tidak adalah sama sahaja pada zat dan kedudukan Baginda Nabi SAW. Samada di sambut atau tidak, Baginda Nabi SAW tetap sahaja Mulia, Sempurna, Agung dan sangat baik kedudukannya. Apa harus digusarkan ialah KITA!!!. Ya, Kita!! Ummatnya.. Apakah kita semakin mulia? apakah kita semakin maju? apakah kita semakin hampir dengan Hadrat Allah Yang Maha Esa???.

Lantas, pelbagai pengisian disediakan bagi menyambut Maulid ini. Sebaik-baik pengisian di dalam sambutan ini bagi saya adalah Selawat dan salam ke atas Baginda. Tepat.. Selawatlah kepada Baginda kerana ia jelas dinyatakan di dalam Al Quran bahawa Allah dan para MalaikatNya berselawat ke atas Nabi, wahai yang beriman, Berselawat dan salamlah ke atas Baginda. Apa  saja faedahnya??? Hebat..sangat mengiurkan… Sabda Nabi ” Siapa yang berselawat ke atasku sekali, Allah akan berselawat ke atasnya 10 kali” lalu bagaimana jika kita berselawat 100 kali, 1000 kali…. Ajrun A’zhim….

Ingatlah bahawa, Nabi SAW sentiasa sahaja melihat amal, perbuatan, selawat dan perjuangan kita. Teringat saya suatu kisah di zaman salafus soleh, seorang yang sentiasa selawat ke atas Baginda sebelum tidur setiap hari sehingga ditakdirkan Allah suatu malam ia tertidur sebelum sempat berselawat ke atas Baginda Nabi. Maka, Nabi hadir di dalam mimpinya menegur si soleh ini, “Kenapa engkau tidak berselawat kepada ku pada malam ini? Apakah tidak kau sudi berselawat ke atas ku lagi?”. Lantas bingkas bangun si soleh menangis teresak-esak lantaran tidak percaya bahwa rupa-rupanya selawatnya setiap hari itu dipandang dan dikenang oleh Baginda Nabi SAW.

Nah… lantaran itu, siapa kita?? bagaimana kita di sisi Baginda? apakah agaknya Baginda melihat dan memerhati gerak kerja, amal ubudiah dan selawat kita??? Yakinilah bahawa setiap amal kita dilihat oleh Allah, Nabi dan orang Mukmin. Salam Maulidur Rasul… Semoga beroleh syafaat Baginda di akhirat kelak, beroleh pandangannya di dunia ini… Amin.

Coretan PPSMI

March 8, 2009

menjadi saksi kebangkitan rakyat

__________

Tatkala mana ummat Palestin berhadapan dengan serangan Israel laknat yang menyerang Masjid dan Rumah-rumah Allah di mana di situlah berlindungnya wanita, kanak-kanak dan orang tua yang tidak berdaya dari diserang dan dibedil oleh Rejim tersebut, tak kurang juga keadaan yang sama ketika mana kita menyaksikan orang tua, kanak-kanak, wanita dan tak kurang juga orang kurang upaya ‘OKU’ yang memasuki perkarangan  Masjid Negara (MN) untuk menyelamatkan diri dari serangan ‘sawan’ FRU yang bertubi-tubi menyerang dan menzalimi rakyat pada petang tadi.

Saya sendiri sudah berkali-kali menitiskan air mata, pedih muka, gatal kerongkong dan pelbagai lagi kesan dari serangan zalim tersebut. Boleh tahan juga terseksa menderita selama hampir 10 minit untuk setiap kali ‘serangan’. Saya turut menderita hampir 4 kali. Pada mulanya, ketika hampir sampai ke simpang jalan ke Istana Negara, mata saya turut rasa gatal-gatal, pedih dan mula menitiskan air mata. Lantas saya terserempak dengan ADUN Kubang Rotan, YB Nasir Mustafa lantas saya menegurnya. “Abg Nasit, awat yang muka merah-merah nih..??” beliau menjawab” Depa dah tembak dah depan tuh..habis semua berpecah… ana dah tak tahan” katanya sambil mengesat air matanya yang bercucuran.

Ish..ish..ish.. kalau orang yang muda pun rasa macam tuh, macamana pula anak-anak kecil, ibu-ibu dan para wanita.. tak kurang juga orang tua yang turut bersama dalam upacara bersejarah tersebut. Ketika semua orang berpatah balik ke MN dan berhimpun di perkarangannya, sekali lagi FRU menembak gas pemedih mata… tidak kurang dari 7-8 gas pemedih mata ditembak… bertempiaran larilah seluruh manusia..bergagak gempitalah perkarangan masjid tersebut dengan tangisan, takbir dan tak kurang juga kata-kata luahan perasaan terhadap kezaliman ‘binatang berkaki dua’ yang telah hilang kewarasan fikir mereka… saya terus pergi mencari air di tandas di hadapan MN, habuan mencuci muka… sesak nafasku…hidung tidak mampu berfungsi lagi, hanya bernafas menggunakan saluran mulut dan  kerongkongku yang kian perit, pedih, sakit dengan kesan gas tersebut. Difahamkan adindaku juga turut pengsan ketika itu dan di usung ke sebuah pejabat di dalam MN. Huhu..Moga pengsanmu itu bernilai di sisi Tuhan, Rabbul Jalil.

Setelah tidak hampir 20 minit…  FRU menggila kembali. Seolah-olah manusia yang ada di dalam MN semuanya semut yang melata… sekali lagi MN diserang oleh “Tentera Rejim Merah”. Kali ini dahsyat… mereka menembas gas tersebut tidak kurang dari 8-10 tembakan ‘peluru’ gas yang akhirnya memecahkan jam dinding MN dan ‘peluru’ gas memasuki di dalam MN di tingkat bawah dan naik ke tingkat atas. Mujur saja orang ramai cepat bertindak memasuki MN dan menutup pintunya agar tidak mencemarkan ruang solat di atas… Rata-rata rakyat yang berhimpun di dalam MN melahirkan rasa kecewa, marah dan berang dengan tindakan primitif tersebut.

” Ini adalah suatu tindakan yang tidak bertamadun.. kalau yahudi di Palestin menyerang Masjid Al Aqsa… Yahudi Malaysia pula menyerang Masjid Negara…”. Itulah suatu ulasan seorang anak muda yang turut serta di dalam bantahan tersebut.

Saya tidak tunggu lama, sekitar jam 4.30 saya mengundur diri kerana mahu ke rawang pula. Namun, apa yang saya dapat saksikan di dalam peristiwa yang bersejarah ini, Rakyat kini menolak PPSMI… kerajaan harus segera mengambil tindakan. Sekiranya tidak… pastinya anda mempunyai jawapannya… Takbiiirr!!!!!!!!!!

yahudi malaysia

Yahudi Palestin

yahudi malaysia???

Yahudi Palestin

(Sama tapi tak serupa???)

Huffaz kini mendapat perhatian ramai…

March 6, 2009

Jadikan tahfiz sebahagian pendidikan arus perdana

KUANTAN 5 Mac – Multaqa Institusi Tahfiz Kebangsaan 2009 yang berakhir hari ini mahu arus pendidikan negara memartabatkan pengajian tahfiz. Gesaan itu terkandung dalam resolusi multaqa yang dihadiri lebih 150 peserta dengan tema Menjana Huffaz Pemimpin Ummah. Multaqa itu turut melibatkan penyertaan dari Indonesia, Singapura dan Brunei.

Resolusi itu mencadangkan:

l Kerajaan disaran mendirikan sekolah menengah kebangsaan tahfiz, menubuhkan Maktab Rendah Sains Tahfiz Mara dan menaik taraf Darul Quran yang ditubuhkan sejak 1966 sebagai sebuah universiti.

l Keperluan menubuhkan Universiti al-Quran untuk mengembangkan pengajian tahfiz dan qiraat ke peringkat lebih tinggi bagi memartabatkan bidang pengajian tersebut.

l Mengiktiraf keperluan pengajian secara integrasi di kalangan institusi tahfiz di seluruh negara.

l Majlis agama Islam negeri-negeri, Lembaga Penasihat Penyelarasan Pendidikan Islam yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diminta bertindak sebagai urus setia. Pemantauan pelaksanaan resolusi akan dipantau oleh urus setia ini.

Resolusi itu disampaikan kepada Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah oleh Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob pada majlis penutup multaqa di Yayasan Pahang, Tanjung Lumpur di sini. Tengku Abdullah dalam titah ucapannya menyokong penuh resolusi tersebut dan akan mempersembahkan kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.

Farid: AlhamdulilLah, ummat kini sudah semakin meningkat dari sudut kesedaran terhadap keperluan golongan huffaz. Para huffaz pula digesa agar sentiasa mengekalkan imej yang baik serta profesional setelah bergelar al Hafiz. Jangan jadi lebih buruk dan hodoh dari orang awam sudah laa… seperti terlibat di dalam isu maksiat, khalwat dan pelbagai lagi.

Ummat akan mersa sangat sedih terhadap graduan lulusan pengajian Islam baik berkelulusan Diploma, Ijazah, Syahadah Pondok samada dari dalam atau luar negara, semakin ramai yang telah bergelar graduan Ulama Muda… semakin ramai pula masyarakat yang rosak dan jauh dari agama.

Selayaknya bagi graduan @ Ulama’ Muda, kita menjalankan tanggungjawab sosial kita terhadap masyarakat. Agar kelak “title Islam” yang ada pada kita tidak menjadi fitnah kembali.

ULAMA’ MEMBANTAH PPSMI

March 6, 2009

Para ulama telah mengeluarkan dokumen Pengisytiharan Muafakat Ulama Membela Martabat Melayu dalam sebuah majlis yang diadakan di Madrasah An-Nur, Pendang, dekat sini baru-baru ini

Terbukti golongan ulama juga turut membantah isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilancar sejak tahun 2002.

Berikut adalah teks penuh Pengisytiharan tersebut:

Segala puji hanya untuk Allah Rabbul ‘Alamin, Yang Maha Pengasih, yang telah mengajar Al-Quran, Dia menciptakan insan, mengajarnya al-bayan, Dia cipta semua dengan segala aturannya agar insan tidak merosakkan keseimbangan, supaya ditegakkan kesimbangan itu dengan adil dan tidak mengurangi keseimbangan yang telah disusun dengan peraturanNya.

Selawat dan salam untuk junjungan kekasihNya Rasulullah s.a.w serta ahli keluarga baginda dan seluruh sahabatnya, yang menjadi qudwah hasanah untuk seluruh insan, membawa rahmat untuk sekalian alam, membawa petunjuk dari zulamat kepada nur yang menerangkan, membebaskan perhambaan insan kepada makhluk kepada pengabdiaan hanya kepada Allah, yang mengangkat semua kaum dari zillah kepada kekecemerlangan ‘Izzah Islam.

Memahami bahawa bahasa mempunyai kaitan langsung dengan persoalan falsafah dan pegangan hidup seseorang Muslim,

Memahami bahawa dengan pemisahan agama dari bahasa akan membawa implikasi besar kepada kaum Muslimin dari sudut pandangan hidup Islam yang berasaskan Tauhid,

Menginsafi bahawa kepentingan penggunaan bahasa dalam Islam ada kaitan dengan makna yang boleh memberi kesan kepada nilai dan prinsip asas dalam kehidupan seseorang Muslim,

Meneliti bahawa fungsi bahasa sangat jelas kepentingan dan kedudukannya dalam pengembangan dan penyampaian risalah Islam,

Menginsafi betapa sekularisasi bahasa akan membawa kepada sekularisasi kehidupan kaum Muslimin, lantaran terpisahnya seorang Muslim dari bahasa yang mendidik konsep dan falsafah kehidupan beraqidah akan melunturkan kerangka berfikirnya terhadap tassawur Islam yang benar dan murni,

Menghayati betapa bahasa Melayu telah melalui sejarah Islamisasi yang tersendiri sejak kedatangan Islam di alam Melayu, oleh kerana itu ia telah menjadi bahasa yang terpilih untuk membentuk pegangan hidup Islam dikalangan ratusan juta kaum Melayu di nusantara ini,

Menerima bahawa Bahasa Melayu mempunyai kedudukan yang istimewa dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai bahasa kebangsaan negara ini,

Mengambil perhatian serius bahawa perlaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) sejak tahun 2002 , telah menjejaskan status dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar dalam sistem pendidikan Negara,

Menyesali bahawa PPSMI telah dilaksanakan dengan secara tergesa-gesa tanpa penelitian yang lebih terperinci dan tanpa mengambil pandangan balas dari ahli cendekiawan dan ilmuan Islam,

Memandang serius bahawa perlaksanaan PPSMI telah memberi kesan negatif dalam jangka masa pendek mahupun dalam jangka masa panjang kepada tahap prestasi pelajar-pelajar di kawasan luar bandar,

Memberi perhatian berat kepada perlaksanaan PPSMI yang telah mengenepikan segala usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang berkeupayaan tinggi untuk mendidik anak bangsa khasnya dan warga negara amnya,

Memahami bahawa perlaksanaan PPSMI oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak mengambilkira segala hujah ilmiah berdasarkan undang-undang, sejarah, kesan sosio-budaya, pembinaan jati-diri dan tamadun bangsa, yang telah dibentang oleh pelbagai ahli pakar dan ahli akademik dalam negara,

Mengesahkan bahawa beragama Islam dan bertutur dalam bahasa Melayu ada kaitan dengan takrif seorang Melayu mengikut Perkara 160 Perlembagaan Persekutuan dan ini bermakna keserasian Bahasa Melayu dengan KeIslaman bangsa Melayu tidak dapat dipisahkan,

Maka kami sebagai golongan agama yang prihatin terhadap sebarang hal-ehwal yang ada kaitan dengan kedudukan Islam dan kaum Muslimin di negara ini, berpendirian,

1. MENOLAK perlaksanaan PPSMI dalam sistem pendidikan negara,

2. MEMBANTAH penerusan perlaksanaan PPSMI kerana ia menjejaskan kedudukan bahasa Melayu yang sudah diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu dan sekaligus bahasa Islam,

3. MENEGASKAN bahawa dalil agama untuk mengembalikan pengajaran sains dan Matematik kepada bahasa Melayu sangat kuat kami sandarkan kepada nas-nas naqli berikut:

– Menggunakan bahasa yang dapat menerangkan dan memahamkan konsep dan falsafah kebenaran adalah matlamat utama kenapa Al-Quran menggunakan bahasa ibunda Arab sebagai penghantar untuk menjelaskan makna dan intisari ajaran Islam kepada bangsa Arab.

“Dan demikianlah Kami wahyukan Al-Quran kepadamu dalam bahasa Arab, agar engkau memberi peringatan kepada penduduk ibukota (Mekah) dan penduduk (negeri-negeri) di sekelilingnya serta memberi peringatan tentang Hari berkumpul (Qiamat) yang tidak diragukan adanya. Segolongan masuk syurga dan segolongan masuk neraka.” (Asy-Syura: 7)

– Bahawa bahasa yang tidak tercemar dengan makna dan faham yang terlepas dari konsep ketauhidan Allah dan membolehkan mesej asas Islam mengenai Ketuhanan disampaikan adalah punca kenapa Al Quran memilih bahasa Arab sebagai bahasa penghantar. Lantaran itu Bahasa Melayu yang telah sarat melalui proses Islamisasi adalah bahasa yang paling wajar dijadikan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara untuk menjayakan proses pembinaan tamadun Islam dalam masyarakat Malaysia.

“Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al-Quran berbahasa Arab, agar kamu mengerti.” (Yusuf: 2)

“Dan demikian Kami menurunkan Al Quran dalam bahasa Arab dan Kami telah menjelaskan berulang-ulang di dalamnya sebahagian dari ancaman agar mereka bertaqwa atau agar (Al-Quran) itu memberi pengajaran bagi mereka”(Toha: 113)

“Dan sungguh te;lah Kami buatkan dalam Al-Quran ini segala macam perumpamaan bagi manusia agar mereka dapat pengajaran, iaitu Al-Quran dalam bahasa Arab, tiada ada kebengkokan (di dalamnya) agar mereka bertaqwa” (Az-Zumar: 27- 28)

“(Al-Quran ini) diturunkan dari Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Kitab yang ayat-ayatnya dijelaskan bacaan dalam bahasa Arab untuk kaum yang mengetahui.” (Fussilat: 2-3)

“Demi kitab (Al-quran) yang jelas. Kami jadikan Al-Quran dalam bahasa arab agar kamu mengerti.” (Al Zukhruf: 3)

Semua ayat-ayat ini menjelaskan betapa bahasa ada kaitan dengan mesej risalah Islam yang disampaikan kepada manusia.

Manakala bahasa Melayu yang sarat dengan konsep Islam dari Al-Quran diketepikan penggunaannya dalam pengembangan ilmu, maka kesan sekularisasi bahasa yang telah berlaku dalam sejarah pengembangan bahasa inggeris yang sangat dipengaruhi oleh sejarah sekularisasi agama Kristian akan mempunyai impak kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini.

4. MENDESAK supaya perlaksanaan PPSMI hendaklah diberhentikan dan penggunaan bahasa Melayu kembali digunakan sebagai bahasa pengantar dalam semua matapelajaran kecuali dalam pengajaran bahasa yang lain, di seluruh institusi pendidikan di semua peringkat.

5. MENUNTUT agar kerajaan mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu untuk membentuk tamadun tinggi dalam masyarakat, sementara memberi ruang untuk pelajar mempelajari pelbagai bahasa lain untuk meningkatkan keupayaan menguasai pelbagai ilmu dari sumber bahasa yang lain,

6. MENDESAK agar tulisan jawi kembali diperkasakan dalam sistem pendidikan negara termasuk mengalakkan urusan rasmi menggunakan tulisan jawi sebagai identiti negara,

7. MENEGASKAN bahawa pengajaran bahasa Inggeris perlu dipertingkatkan kaedah dan pendekatannya, namun bukan dengan cara mengetepikan bahasa Melayu sebagai penghantar mata pelajaran seperti yang dilaksanakan dalam PPSMI masakini,

8. MENGGESA supaya penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar hendaklah diperundangkan dan dikuatkuasakan dalam semua sektor Negara semada awam mahupun swasta,

9. MENEGASKAN bahawa pihak kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran tidak boleh berdalih dengan alasan pencapaiaan UPSR, PMR mahupun SPM untuk menjadi asas untuk meneruskan atau memberhentikan perlaksanaan PPSMI,

10. MENDESAK supaya pihak kerajaan tidak menggunakan dalil mencapai kemajuan bertaraf dunia sebagai alasan untuk meneruskan PPSMI kerana hujah ini sudah muktamad ditolak oleh perbandingan dan bukti dengan pelbagai negara lain yang tidak mengutamakan bahasa Inggeris untuk mencapai kemajuan sesuata bangsa dan Negara,

11. MENGGESA agar seluruh warga pendidik dan waris pelajar-pelajar disemua institusi pendidikan negara agar bersama bersatu untuk membantah perlaksanaan PPSMI.

*saya turut sama menandatangani deklarasi tersebut bersama hampir 100 para U’lama’ dan Tuan2 Guru negeri Kedah yang hadir pada hari tersebut.