Archive for August 2009

Ahlan Ya Ramadhan

August 21, 2009

رمضان 2

Ramadhan Kariem….
Semoga Ramadhan kali ini akan menjadikan kita sebenar-benar hamba. Kerap kali kita menyambut Ramadhan dengan azam dan semangat yang berkobar-kobar. Ada yang sudah menyusun jadual ibadahnya, ada juga yang menyusun senarai barang dan perhiasan untuk di beli bagi persiapan raya, kalau di offices pula, akak2 dah mula sibuk menerima tempahan buat kuih raya, di kedai2 jahit dah siap menerima tempahan baju raya dan sebagainya…

Moga juga di Ramadhan ini, niat puasa dan matlamat puasa ini benar-benar selaras dengan kehendak Tuhan. Iaitu melahirkan hambaNya yang bertaqwa. Sesuai dengan firmanNya “Mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa”. Ramai manusia yang berpuasa kerana puasa di bulan ini adalah suatu perkara yang diwarisi turun temurun, ada juga puasa kerana dengan tujuan nak sambut raya- kalau tak posa maka tak leh nak raya, ada yang puasa kerana nak diet, ada juga yang posa kerana tak mahu nanti dikatakan orang bahawa dia tak berpuasa. Dan pelbagai lagi sebab musabab manusia berpuasa. apa pun, biarlah puasa itu akan menjadikan kita di akhirnya tetap ikhlas kerana Allah.

رمضان 1

Matlamat puasa itu iailah mendidik jiwa, mengekang nafsu, menyubur hati dan merendahkan diri. Jiwa terdidik dengan kesabaran, nafsu dikekang dengan kelaparan, hati di subur dengan ibadah, diri dikuasai dengan dengan keinsafan. Berusahalah, berjuanglah sebaiknya di Ramadhan ini dengan sebenar-sebenar usaha dan perjuangan. Barangkali mungkin ini Ramadhanku yang terakhir….

Beristighfarlah, merintihlah, tangisilah diri yang kerdil ini di bulan Ramadhan moga Allah memberikan keampunanNya terhadap kita yang hina ini. Teringat suatu hadith yang masyhur, bila mana Nabi SAW menaiki mimbar baginda untuk berkhutbah, Nabi mengucapkan Amiin sebanyak tiga kali. Seusai bersolat, para sahabat bertanya apa yang berlaku di mimbar tadi. Jawab Nabi: Jibril telah mendatangiku seraya mengatakan “Katakan “amiin” wahai Muhammad kepada doa-doaku. Pertama, Celakalah sesiapa yang disebut nama Muhammad SAW lantas tidak berselawat ke atasnya. Nabi berkata:’Amiin’. kedua, Celakalah sesiapa yang mendapati kedua ibubapa atau salah satunya ketika tua lalu mereka tidak berbakti kepada mereka”. Nabi menjawab :’Amiin’. Ketiga, Celakalah bagi mereka yang mendapati ramadhan lalu ia keluar darinya sedang ia tidak diampunkan oleh Allah akan dosa2nya”.

رمضان 3

Nah, insafilah dan renungilah hadith tersebut. semoga kita mendapat pengajarannya. Amiin. Selamat menyambut Ramadhan 1430H. Selamat mendaftar sebagai peserta Kursus Ramadhan 1430 H dan selamat bergraduat dengan cemerlang… Amiin.

Advertisements

Ujian Tuhan pelbagai rupa…

August 13, 2009

riyadhus solihin.
Pagi Ahad yang lalu saya menyampaikan kuliah subuh di Masjid Jumhuriyyah, Taman Dato’ Haron di PJS. Dalam kesibukan saya menjalani kehidupan sebagai tenaga pengajar di kolej, saya hanya mampu untuk membelek beberapa hadith sebagai bekal untuk menambah pengetahuan saya. Terasa sangat berbeza antara masa sebelum bekerja dengan selepas bekerja. Masa untuk mentela’ah ilmu kini sudah semakin sempit terasa. Ketika saya sedang meneliti beberapa hadith yang ada di dalam kitab Riyadus Solihin karya Al Imam an Nawawi rhm, saya terjumpa sebuah hadith yang sangat menarik perhatian saya. Lantas saya bertekad akan membacakan hadith tersebut sebagai perkongsian ilmu bersama para ahli jama’ah.

Sungguh kita sedari bahawa Allah menciptakan kita tentu sekali dengan matlamat dan tujuan yang jelas. Allah sama sekali tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya. Dia telah menjelaskan kepada kita untuk apa kita diciptakanNya.

Saya mulakan kuliah dengan memperingatkan diri dengan firman Allah di dalam surah al-Mulk ayat ke dua yang bermaksud: “Allahlah yang telah menciptakan kematian dan kehidupan (untuk) menguji kamu siapakah yang paling baik amalannya”. Juga ayat ke dua surah Al Insaan: ” Kami ciptakan manusia itu dari nutfah (campuran air mani) untuk kami menguji mereka maka kami jadikan kepada mereka (alat) pendengaran dan penglihatan”.

Dengar dan lihat, dua natijah yang diperolehi dari nikmat telinga dan mata. Saya kira ia simbolik dari Tuhan kepada manusia bahawa ujian manusia yang paling hampir pada dirinya terletak pada dua perkara ini.

telinga

Dengar, ya dengar. Hasil dari penggunaan telinga menghasilkan pendengaran. simboliknya ialah manusia suka dan mahu suaranya di dengari. Mungkin juga suka agar namanya disebut-sebut dan dia rasa bangga bila namanya kedengaran di serata pelusuk bumi. Kerana itu juga bayi yang masih kecil menangis jika dia terasa tidak diperhati dan didengari, manusia menangis untuk menarik simpati dan pelbagai lagi dari kaedah dengar ini. Jelasnya, telinga dan dengar itu sebenarnya suatu ujian kepada manusia.

mata

‘Dari mata jatuh ke hati’. suatu ungkapan kata yang ada kebenarannya. dari suatu pandangan dari mata kita akan menyebabkan jiwa kita tak tenteram. Mata kalau terpandang sesuatu yang berkenan di hati, maka jiwa terasa tak senang hati. Mata melihat kesenangan orang, mula timbul rasa tak puas hati. mata lihat keindahan hak orang lain, keinginan memilikinya juga terdetik di hati. Mata melihat kerajaan negeri orang, hati mula dengki nak bawa lari. macam-macam lagi dari mata. Ya semuanya berpunca dari mata. Barangkali itu yang diingatkan Allah kepada kita setelah Dia sebut manusia akan diuji, lalu diberi mata dan telinga sebagai bahan terdekat untuk diuji.

bersambung…..

Kita Sekadar Mempunyai, Tidak Memiliki

August 7, 2009

“Ustaz, apa makna Islam yang sebenar?” soal seorang rakan pelajar di dalam kuliah. “Ya, Islam dari sudut literal ialah selamat dan sejahtera. maknanya sesiapa yang mahukan islam maka ia akan selamat dan sejahtera. Alah, macam di negeri ustazlah, Kedah Sejahtera sebab kita orang menerima Islam” ujarku. Islam jika dilihat dari sudut istilah pula ialah kita menyerah diri, tunduk dan patuh kepada Allah swt serta menyerahkan diri hanya kepadaNya’. “Apa yang kita dapat fahami dari perkataan menyerahkan diri?” soalku.

‘mungkin kita menyembah Allah kot Ustaz’ Jawab A. Rakan B pula mencelah ‘mungkin kita solat dan melakukan suruhan Allah’. C pula meyakinkan diri menyatakan’ hanya kepada Allah kita sembah dan meminta pertolongan’.

Hmm.. memang sering kali saya di dalam kuliah akan menggunakan pendekatan banyak bertanya kepada rakan-rakan pelajar supaya saya sentiasa dapat sentiasa berkomunikasi dan berinteraksi dengan lebih mesra. di samping kita dapat membina keyakinan kepada diri mereka untuk berinteraksi, kita juga sebenarnya telah mencabar minda mereka untuk berfikir dan menjawab pelbagai persoalan.

keta

“Sahabat sekalian. hakikatnya secara luaran kita merasakan kita memiliki sesuatu. Kita memiliki kereta, motorsikal, kesihatan, keluarga, kawan-kawan, dan pelbagai lagi. Namun hakikinya ialah kita hanya meminjam dari Allah. Kereta boleh rosak, motor boleh hilang, keluarga boleh mati, sihat jadi sakit… apa lagi? semuanya memang bukan milik kita. Habis apa yang kita ada???

sakit

‘kita tak da apa-apa la sebenarnya ustaz…’ kata seorang rakan pelajar.
“Ya! benar. kita tak memiliki apa-apa namun sebenarnya. Namun begitu, kita masih mempunyai. Kita hanya mempunyai Tuhan yang mentadbir, menjaga, memelihara dan menjadi penolong dan pembela kita. Itulah Allah yang segala-galanya adalah dari dan untuk Dia”.

“Sebab itu Nabi SAW ajar kat sahabat baginda supaya sentiasa menjaga Allah, maka nescaya Allah akan menjaga kita. Alangkah ruginya manusia ni bila kita tahu kita tidak memiliki apa-apa, dalam masa yang sama kita tak mempunyai apa-apa juga”.

“Sahabat, biarlah kita tidak memiliki apa-apa pun tapi kita masih mempunyai”

Ramai mengangguk tanda setuju. ada juga yang masih blur, mungkin sebab ayat saya kadang-kadang berbelit-belit nak bagi jadi ayat yang bombastik sampai rakan pelajar saya agak kurang memahami. huhu..

Semoga tahap pertama saya menyedarkan mereka akan menampakkan hasilnya nanti. Hmm.. boring juga bila lama tak jumpa rakan-rakan pelajar nih. maklumlah, kolej cuti seminggu sebab H1n1. yang cutinye student, staff dan pensyarah tetap berkerja seperti biasa. hmm, soalan mid-term pun dah nak siap. Moga cepat siap dan menepati kehendak J/Kuasa.

p/s: AlhamdulilLah, saya juga dah kenan demam 4 hari tapi dah sihat dan terus bersemangat untuk bersama di medan dakwah yang mencabar dan mencuit ini..