Jawapan Kepada Tuduhan Saudara Naim

Assalamualaikum dan salam Ukhuwwah FilLah,

Semoga Allah melimpahkan segala rahmat dan kurniaNya kepada kita sekalian. Saya telah membaca suatu artikel yang dihantar oleh Saudara Naim di dalam laman blog beliau yang bertarikh 3 mei 2008 bertajuk : Universiti Islam atau Universiti Islam Liberal. Oleh kerana saya melihat tuduhan yang dilemparkan kepada universiti tempat saya menimba ilmu dan mengenal agama islam ini telah diberikan gambaran yang tidak adil, saya ingin memberikan penjelasan berhubung isu tersebut serta membuat sedikit teguran kepada Saudara Naim.

Diharapkan semoga sedikit penerangan yang saya jelaskan akan memurnikan tanggapan masyarakat yang tidak menetap di bumi USIM (satu-satunya Universiti Islam di Nilai sebagaimana yang digambarkan oleh Saudara Naim) yang tercinta. Bukanlah saya menulis ini bertujuan untuk menolak segala dakwaan yang dibuat oleh seorang pelajar (rakan Saudara Naim) yang telah menceritakan kepada Saudara Naim situasi USIM tersebut. Namun, adalah tidak adil bagi saya yang sudah hampir 3 tahun belajar di USIM sekiranya membiarkan keluarga saya dicemuh tanpa pembelaan. Tidak dinafikan bahawa ada beberapa kekurangan di pihak keluarga saya (USIM) yang masih perlu diperbaiki tetapi tindakan saudara menulis serta memberikan komentar berdasarkan cerita dari teman saudara adalah tidak tepat.

Saudara mendakwa bahawa USIM seolah-olah merupakan pusat ternakan ‘Islam liberal’. Saudara, ucapan ini sangat sensitif dan berbahaya. Saya yakin bahawa apa yang ditulis oleh saudara bukanlah mewakili PKPIM, namun sedikit sebanyak telah mencemar kewibawaan saudara selaku Ahli Jawantankuasa PKPIM. Apakah hanya apabila warga USIM dididik agar lebih fleksibel dan terbuka, saudara ingin menyatakan USIM adalah sekular dan liberal. Ini suatu tuduhan melulu dan tidak berasas. Keterbukaan yang diamalkan oleh USIM masih berada di bawah kawalan pihak pengurusan universiti yang sentiasa memastikan USIM berada di dalam acuannya tersendiri sesuai dengan imejnya sebagai universiti Islam. Islam tidak pernah menetapkan para ummatnya berpegang dengan suatu pandangan semata, bahkan di dalam lingkungan fiqh islam itu sendiri kita melihat kepelbagaian corak pemikiran. USIM yang terdiri dari pelbagai latarbelakang warganya sudah tentu perlu bersikap lebih terbuka serta meraikan pola pemikiran mereka. Tegasnya, apa yang saya lihat USIM telah meletakkan asas dan garis panduan yang tepat. Sebagai contohnya, seluruh kakitangan USIM diwajibkan menutup aurat. Bukan semua kakitangan USIM pada asalnya menutup aurat apatah lagi berpendidikan agama, namun pendekatan yang diambil oleh pihak pengurusan adalah bersesuaian dengan citra USIM dan kini seluruh warga USIM menutup aurat. Apatah lagi para mahasiswa dan mahasiswi juga digariskan agar menutup aurat dan berpakaian sopan. Jelas termaktub di dalam perlembagaan universiti berhubung perkara tersebut.

Saudara juga telah menaqalkan kata-kata sahabat saudara bahawa dekan terbabit (As-Syeikh Dr. Rosni Samah, HafizahulLah) mengeluarkan pandangan yang tidak baik berkenaan tudung dan jubah. Adakah saudara yakin dengan apa yang diceritakan oleh sahabat saudara itu benar, atau setidaknya bertepatan dengan maksud yang dinyatakan oleh tuan syeikh tersebut?. Ketika saya membaca artikel saudara saya terus menghubungi tuan syeikh dekan berhubung kenyataan beliau. Benar sekali, sahabat saudara telah salah memahami ucapan tuan syeikh serta tidak mahu menerima teguran yang diberikan kepada beliau.(lebih sopan menggunakan beliau – sebagai seorang yang beradab dalam penulisan). Apa yang dimaksudkan oleh Tuan syeikh berhubung jubah dan tudung itu adalah supaya mahasiswi yang bakal bergelar guru / ustazah berpakaian lebih kemas. Dalam erti kata lain berjubah dengan jubah yang kemas dan terurus bertudung labuh yang kemas dan menyenangkan. Barangkali teguran tersebut tidak dapat difahami dengan baik. USIM bukan sahaja menitik beratkan soal penguasaan ilmu bahkan imej islam yang baik harus dijaga.

Tuduhan saudara mengatakan kami (senior-senior USIM) berfikiran sekular adalah tidak benar. Mungkin ada segelintir yang berfikiran begitu (di mana IPT pun ramai), namun menuding jari dengan mengatakan senior USIM adalah sekular adalah tidak berasas. Berkenaan program tersebut hingga mengabaikan solat tidak dapat saya pastikan. Beberapa persoalan harus dikemukakan, adakah pihak penganjur tidak membenarkan bersolat atau pelajar yang tidak mengambil peluang untuk bersolat. Dalam pengamatan saya, tidak ada suatu program yang dianjurkan tidak memberikan ruang waktu untuk bersolat. Perkara ini akan dikaji dan diteliti oleh pihak bertanggungjawab.

Berhubung nyanyian-nyanyian, persembahan dan tarian yang melalaikan. USIM telah mencuba meng’harmoni’kan perkara tersebut sesuai dengan kehendak syariat dan menjaga nilai-nilai budaya ketimuran melayu. Kami bersyukur kerana USIM tidak membiarkan mahasiswanya untuk bebas dalam bersosial dan berhibur dengan sesuka hati. Ianya sentiasa dipantau serta dipandang berat oleh pihak pengurusan. Untuk makluman saudara, sebarang aktiviti berkaitan dengan nyanyian, persembahan dan tarian adalah dirujuk terlebih dahulu kepada pihak atasan sebelum ianya dilaksanakan dalam kata lain, USIM sekaligus hanya membenarkan aktiviti tersebut dijalankan sekiranya ia tidak melanggari batas syariat dan budaya melayu.

Sebagai kesimpulan,ingin saya memberikan beberapa noktah sebagai panduan saudara. Pertama, saudara haruslah lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan terutama apabila mengaitkan peribadi serta institusi pengajian tinggi yang lain. Budaya menyiasat terlebih dahulu adalah perbuatan yang dianjurkan Islam serta mengelak dari membuat tuduhan melulu. Kedua, saudara harus menjaga adab serta etika di dalam menulis terutamanya saudara adalah merupakan seorang pemimpin mahasiswa yang berideologikan Islam sebagai cara hidup. Ahkirnya, saya mendokan agar Allah mengampunkan kesalahan dan dosa kita selaku hambaNya yang dhaif dalam menjalani kehidupan sebagai khalifah di muka bumi ini.

Sekian.

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

MOHD FARID DIN

Yang Dipertua,

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP),

Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Explore posts in the same categories: Tenangkan Minda

2 Comments on “Jawapan Kepada Tuduhan Saudara Naim”

  1. Ubaidullah Ishak Says:

    Sedare, xde org bg komen pun kt artikel ni. Emm nasibla org xbc pun jwpn tuduhan tuu. Sedih 😦

  2. ukhtluvislam Says:

    Assalamualaikum Warahmatullah..
    erm..xde nk ckp apa sgt..cuma xlain xbukan mengenai artikel saudara naim..
    tahniah!!kerna saudara telah menjwp spekulasi berkenaan.eloklah dengan jwpn yg anda berikan tu,moga ‘keluarga’di usim dpt belajar dr teguran org..biar walaupun teguran itu tidak benar atau benar..sekurang2nya kita sebagai warga usim ada tanggungjwab,membuka minda kita semua..kalau xwujud artikel cm saudara naim tu,kita hanyut dengan dunia kita sendiri..erm..sedih,pedih..mmg sedih ..tp,sy cuba berfikiran +..walau pahit utk di telan pd mulanye..ana rasa,elok anta siarkan sekali lg jwpn kepada tuduhan tu..supaya shbt2 di u2 lain dpt baca..seterusnye bersihkan kembali nama usim..

    hidup usim!
    hidup islam!
    hidup biar berjasa!


Leave a comment